Soalan Lazim
Dalam carian

Umum

Apakah MyDFLAB?

MyDFLAB atau Malaysia Government Digital Forensic Lab merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Digital Negara (JDN) merangkumi sanitasi data logikal dan fizikal, pemulihan data dan penyediaan kemudahan infrastruktur forensik digital  yang ditawarkan kepada agensi Sektor Awam.

Apakah skop perkhidmatan di bawah MyDFLAB?

Buat masa ini, perkhidmatan MyDFLAB merangkumi perkhidmatan sanitasi (penghapusan) data logikal dan fizikal, pemulihan data logikal dan infrastruktur forensik digital (perisian dan perkakasan).

Agensi manakah yang boleh menggunakan perkhidmatan MyDFLAB?

Perkhidmatan MyDFLAB adalah terbuka kepada semua agensi-agensi sektor awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun.

Adakah pihak syarikat atau vendor yang berurusan dengan Kerajaan boleh menggunakan perkhidmatan MyDFLAB?

Tidak. Perkhidmatan ini adalah khusus untuk agensi sektor awam dan aset-aset yang didaftarkan di bawah Kerajaan sahaja.

Adakah sebarang caj bayaran dikenakan bagi menggunakan perkhidmatan MyDFLAB?

Tidak. Tiada sebarang caj bayaran dikenakan kepada pengguna perkhidmatan MyDFLAB. Agensi pengguna boleh menggunakan perkhidmatan ini secara percuma.

Adakah agensi perlu melaksanakan sendiri proses sanitasi data, pemulihan data dan forensik digital?

Tertakluk kepada situasi dan perbincangan antara Pasukan MyDFLAB dan agensi pengguna, agensi boleh melaksanakan sendiri proses sanitasi data dan pemulihan data di makmal MyDFLAB atau pejabat agensi pengguna.

Bagi forensik digital, agensi perlu melaksanakan sendiri forensik digital menggunakan perisian/perkakasan sedia ada di makmal MyDFLAB.

Apakah proses permohonan perkhidmatan MyDFLAB?

Agensi boleh membuat permohonan melalui Portal MyDFLAB iaitu https://mydflab.gov.my

Pasukan MyDFLAB akan menyemak permohonan yang dihantar dalam masa tujuh (7) hari. E-mel status permohonan akan dihantar kepada pegawai pemohon sama ada diterima atau ditolak.

Buat masa ini, sebarang permohonan untuk menggunakan perkhidmatan/infrastruktur MyDFLAB, agensi boleh mengemukakan emel kepada mydflab@digital.gov.my dengan dilampirkan satu surat rasmi Kerajaan dengan dialamatkan kepada Ketua Pengarah JDN.

Sekiranya agensi telah mendapat makluman bahawa permohonan telah diterima, adakah agensi perlu membawa semua komputer meja/laptop/perkakasan yang terlibat ke makmal MyDFLAB?

Tidak. Agensi hanya perlu membawa media storan bagi aset yang terlibat dalam tempoh 14 hari dari tarikh makluman tersebut ke makmal MyDFLAB.

Sekiranya aktiviti sanitasi data logikal aset/media storan adalah di agensi pengguna agensi tidak perlu mengeluarkan media storan kerana proses sanitasi boleh dilaksanakan terus melalui perkakasan tersebut (jika tiada kerosakan fizikal).

Sanitasi Data

Sanitasi Data?

Sanitasi data ialah proses memadamkan maklumat di dalam media storan bagi melindungi maklumat sensitif daripada ia digunakan oleh pihak yang tidak sepatutnya.

Pemadaman Data: Mengalih keluar data dari storan secara kekal.

  • Data Masking: Menyembunyikan atau menggantikan data sensitif dengan data palsu.
  • Penyulitan Data: Menukar data kepada format berkod yang hanya boleh diakses oleh pengguna yang dibenarkan.
  • Kes Penggunaan: Selalunya digunakan apabila berkongsi data untuk penyelidikan, pematuhan peraturan atau melupuskan data lama.

Ringkasnya, pembersihan data adalah tentang memastikan maklumat sensitif dikendalikan dengan selamat dan selamat.

Kaedah Sanitasi Data?

Terdapat beberapa kaedah sanitasi data boleh digunakan. Berdasarkan Surat Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2022: Garis Panduan Sanitasi Media Elektronik Dalam Perkhidmatan Awam terdapat dua (2) kaedah utama iaitu sanitasi logikal dan sanitasi fizikal.

Apakah sanitasi data logikal?

Sanitasi logikal ialah proses menulis ganti (overwriting) data yang berada dalam media storan secara logikal. Proses ini boleh dilakukan dengan menggunakan perisian yang berupaya melakukan overwrite bagi memastikan data benar-benar dipadamkan. Kaedah ini lebih menjimatkan berbanding sanitasi fizikal dan ia membolehkan media storan boleh digunakan semula oleh pengguna.

Apakah sanitasi data fizikal?

Terdapat pelbagai jenis, teknik dan prosedur bagi pemusnahan media elektronik seperti penghancuran/ penyepaian (disintegration), kisaran halus (pulverization), peleburan dan pembakaran.

Kaedah-kaedah sanitasi fizikal ini direka bentuk bagi memusnahkan media elektronik. Secara lazimnya juga, penglibatan pihak ketiga yang mempunyai keupayaan khusus seperti kemudahan pembakaran berlesen, pemusnahan peralatan elektronik (logam) adalah perlu dirujuk bagi melancarkan proses pemusnahan agar ia lebih efektif dan selamat.

Pemulihan Data

Apakah pemulihan data?

Pemulihan data ialah proses untuk memulihkan maklumat penting yang telah hilang atau tidak boleh diakses di dalam media storan.

Apakah kaedah pemulihan data?

Kaedah Pemulihan Data:

  • Pemulihan Perisian: Menggunakan perisian pemulihan data untuk mengimbas peranti storan untuk fail yang boleh dipulihkan.
  • Pemulihan Fizikal: Dalam kes kerosakan teruk (seperti cakera keras yang rosak), perkhidmatan pemulihan data khusus mungkin diperlukan. Perkhidmatan ini selalunya memerlukan pembukaan media storan secara fizikal.

Adakah cara untuk mengelakkan kehilangan data?

Untuk meminimumkan risiko kehilangan data, penting untuk kerap membuat sandaran data, menggunakan perkakasan yang boleh dipercayai dan memastikan perisian dikemas kini.

Apakah perisian dan perkakasan pemulihan data yang digunakan oleh MyDFLAB?

Buat masa ini, MyDFLAB menggunakan perisian dan perkakasan seperti PC-3000, R-Studio dan Atola bagi pemulihan data.

Sekiranya agensi berminat untuk menggunakan perkhidmatan pemulihan data MyDFLAB, apakah tindakan yang perlu dilakukan?

Agensi yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui portal MyDFLAB. Setelah permohonan agensi disemak, pihak MyDFLAB akan memaklumkan sama ada permohonan agensi diterima atau ditolak melalui e-mel.

Adakah agensi boleh melaksanakan sendiri proses pemulihan data menggunakan kemudahan MyDFLAB?

Atas beberapa faktor,  aktiviti pemulihan data akan dilaksanakan oleh Pasukan MyDFLAB bagi pihak agensi.

Walau bagaimanapun, agensi juga digalakkan untuk mencuba untuk melaksanakan sendiri proses pemulihan data sekiranya bersesuaian.

Kemudahan Infrastruktur Makmal

Apakah kemudahan yang disediakan oleh MyDFLAB?

Kemudahan infrastruktur forensik digital di makmal MyDFLAB merangkumi forensik komputer dan forensik mudah alih (mobil).

Antara perisian dan perkakasan yang tersedia ialah:

  • Forensic Toolkit (FTK): digunakan untuk forensik digital mudah alih, komputer dan cloud
  • Magnet AXIOM: platform penyiasatan digital lengkap yang membolehkan pemeriksa memperoleh dan menganalisis data forensik dengan lancar, serta berkongsi penemuan yang diperolehi.

Rekod tidak ditemui